Seorang janda sanggup membawa anak lelakinya berusia 10 tahun sebagai teman, bagi mengelak ditahan pihak berkuasa dalam operasi khas Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) sempena sambutan tahun baharu, awal pagi tadi.
Ketua Bahagian Unit Operasi JHEAIPP, Khairul Azman Azizan, berkata janda berusia awal 30-an dari Sungai Petani, Kedah itu, ditahan di sebuah hotel bajet dekat Jalan Teluk Air Tawar di sini, bersama pasangannya sekitar jam 3 pagi.
"Wanita itu ditahan bersama pasangannya dari Balik Pulau yang dilaporkan sudah berkahwin," katanya.
Beliau berkata, JHEAIPP menahan 48 individu berumur 18 hingga 30 tahun dalam operasi khas yang dijalankan di Seberang Perai Utara, Seberang Perai Tengah dan Daerah Timur Laut, di sini.
"Seramai 26 lelaki dan 24 wanita ditahan dalam operasi bermula jam 2 pagi itu.
"Semua mereka akan didakwa mengikut Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Pulau Pinang 1996 dan sabit kesalahan boleh didenda tidak kurang RM3,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali.
0 comments:
Post a Comment